Penyakit kanser paru-paru disebabkan oleh pembiakan sel yang tidak terkawal dalam paru-paru. Kanser paru-paru bermula dalam paru-paru atau salur nafas (trakea dan bronkus) dan boleh merebak kepada nodus limfa atau organ yang lain. Penyebaran sel-sel kanser daripada satu organ kepada organ yang lain dikenali sebagai metastasis.


Apakah jenis-jenis kanser paru-paru?

Kanser paru-paru primer adalah kanser yang berasal daripada paru-paru manakala kanser paru-paru sekunder adalah kanser yang telah merebak kepada paru-paru daripada bahagian badan yang lain.

Terdapat dua jenis kanser paru-paru primer yang utama, iaitu:

  1. Kanser paru-paru sel kecil
    • Jarang berlaku
    • Merangkumi 10% ke 15% kes
    • Merebak dengan cepat
  2. Kanser paru-paru bukan sel kecil
    • Biasa ditemui
    • Lebih daripada 87% kes
    • Tiga subjenis utama:
      • Adenokarsinoma
      • Karsinoma sel skuamus
      • Karsinoma sel besar

Apakah simptom bagi kanser paru-paru?

Kanser paru-paru tidak menunjukkan sebarang simptom pada peringkat awalnya. Simptom akan muncul apabila penyakit semakin berkembang.

Simptom-simptom termasuk:

  • Batuk yang berterusan melebihi 2-3 minggu
  • Batuk kronik yang semakin bertambah teruk
  • Hemoptisis (batuk berdarah)
  • Sakit atau pedih semasa batuk atau bernafas
  • Berdehit
  • Sesak nafas
  • Sakit bahu atau leher yang berterusan
  • Hilang berat badan tanpa sebab
  • Hilang selera makan
  • Suara serak
  • Sentiasa berasa letih
  • Odinofagi (sakit semasa menelan)
  • Disfagia (kesukaran menelan)

Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser paru-paru?

Kebanyakan kes kanser paru-paru disebabkan oleh tabiat merokok. Namun, mereka yang tidak pernah merokok pun mungkin mendapat penyakit ini.

Merokok

Merokok merupakan faktor risiko yang paling utama bagi kanser paru-paru. Ia merangkumi lebih daripada 70% kes. Lebih daripada 60 toksin karsinogen berbeza (penyebab kanser) boleh dijumpai dalam asap tembakau. Lebih daripada 90% lelaki yang menghidapi kanser paru-paru adalah perokok yang kuat.

Orang yang merokok adalah 15 ke 30 kali lebih cenderung untuk mendapat kanser paru-paru atau mati kerana kanser paru-paru berbanding dengan bukan perokok. Merokok beberapa batang sehari sahaja atau merokok sekali-sekala pun akan meningkatkan risiko mendapat kanser paru-paru. Risikonya bertambah seiring dengan bilangan tahun seseorang telah merokok dan kuantiti rokok yang dihisap setiap hari.

Bentuk tembakau yang lain:

  • Menghisap paip dan cerut: meskipun perokok berisiko amat tinggi untuk mendapat kanser paru-paru, penghisap paip dan cerut berisiko 5 kali lebih tinggi daripada bukan perokok.
  • Mengunyah tembakau
  • Serbuk tembakau
Perokok pasif

Kerap terdedah kepada asap rokok daripada perokok lain yang tinggal atau bekerja di sekeliling anda adalah satu lagi faktor risiko bagi kanser paru-paru.

Gas radon

Radon adalah gas radioaktif yang terhasil daripada uranium yang terdapat dalam semua jenis batu dan tanah. Radon juga boleh didapati dalam bangunan. Radon boleh merosakkan paru-paru anda jika disedut oleh anda, khususnya jika anda merokok.

Terapi radiasi

Pernah menjalani terapi radiasi pada dada boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser paru-paru.

Dedahan pekerjaan
  • Asbestos
  • Arsenik
  • Kromium
  • Arang batu
  • Silika
Sejarah keluarga

Jika salah seorang ibu bapa atau adik-beradik anda telah didiagnosis dengan kanser paru-paru, anda berisiko lebih tinggi untuk mendapatnya.

Penyakit Paru-paru

Kewujudan penyakit paru-paru seperti COPD (Penyakit Penghalang Pulmonari Kronik) boleh menambahkan risiko untuk mendapat kanser paru-paru.


Bagaimanakah kanser paru-paru didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor anda akan bertanya tentang kesihatan umum dan simptom anda, dan mungkin meminta ujian darah dilakukan. Penyiasatan termasuk:

X-ray dada

Biasanya, X-ray dada adalah ujian pertama yang dilakukan untuk mendiagnosis kanser paru-paru. Dalam pengimejan dada, tanda-tanda penting seperti gumpalan yang ketara, paru-paru mengempis dan dada mengembang mungkin menandakan kanser paru-paru dan perlu disiasat lebih lanjut.

Kanser paru-paru sering kelihatan sebagai gumpalan putih-kelabu pada radiografi dada, tetapi ini mungkin disebabkan masalah lain. Oleh itu, ujian tambahan harus dilakukan untuk mengesahkan diagnosis.

Imbasan CT

Imbasan tomografi berkomputer (CT) adalah ujian susulan yang biasa dilakukan selepas X-ray dada. Imbasan CT menggunakan X-ray dan komputer bagi menghasilkan imej dalaman badan yang lebih terperinci.

Sebelum imbasan CT, anda akan disuntik dengan sejenis pewarna, iaitu medium kontras, untuk meningkatkan kualiti imej. Prosedur ini tidak menyakitkan dan mengambil masa 10 ke 30 minit.

Imbasan PET-CT

Jika imbasan CT menunjukkan tanda kanser peringkat awal, imbasan tomografi pancaran positron (PET) boleh dilakukan bersama dengan imbasan CT, iaitu imbasan PET-CT.

Pengimejan PET-CT boleh mendedahkan lokasi sel kanser yang aktif. Maklumat ini penting untuk mendiagnosis dan memilih rawatan. Anda akan disuntik dengan sedikit bahan radioaktif sebelum imbasan PET-CT. Prosedur ini tidak menyakitkan dan mengambil masa 30 ke 60 minit.

Biopsi

Biopsi adalah suatu teknik untuk mengeluarkan sampel sel yang abnormal. Biopsi boleh dilakukan melalui beberapa cara, termasuk:

  • Bronkoskopi
    • Menggunakan kamera yang dipasang pada hujung tiub halus, untuk melihat bahagian dalam salur udara dan mengambil sedikit sampel sel.
  • Mediastinoskopi
    • Untuk memeriksa kawasan tengah dada di antara paru-paru anda.
    • Ujian ini bersifat invasif dan anestesia diperlukan.
    • Sampel mungkin juga diambil daripada nodus limfa anda.
  • Torakoskopi
    • Untuk memeriksa serta mengambil tisu dan cecair dari kawasan spesifik dada anda.
    • Prosedur ini juga bersifat invasif dan anestesia am diperlukan.
  • Biopsi jarum perkutaneus
    • Anestesia setempat akan diberikan untuk mengebaskan kulit. Doktor akan menggunakan pengimbas CT untuk memandu jarum menembusi kulit dan ke dalam paru-paru anda, untuk mencapai bahagian yang disyaki mempunyai tumor.
    • Jarum itu akan mengambil sedikit sampel tisu daripada tumor yang disyaki, untuk diperiksa di makmal.

Bagaimanakah kanser paru-paru dirawat?

Pilihan rawatan untuk kanser paru-paru bergantung pada jenis kanser, kedudukan dan saiz tumor, serta peringkat kanser. Terapi utama yang digunakan adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan imunoterapi.

Kanser paru-paru sel kecil

Kanser ini dirawat dengan kemoterapi sahaja atau bersama dengan radioterapi atau imunoterapi.

Kanser paru-paru bukan sel kecil

Kanser ini biasanya dirawat dengan pembedahan dan kemoterapi. Jika doktor mendapati anda tidak sesuai untuk menjalani pembedahan kerana kesihatan umum anda, radioterapi bersama kemoterapi akan disyorkan.

Namun, jika kanser telah merebak terlalu jauh, kemoterapi sahaja atau bersama imunoterapi akan dicadangkan. Jika terdapat mutasi spesifik, terapi sasaran akan dicadangkan.

Pembedahan

Pembedahan kanser paru-paru akan membuang seluruh tumor dan sebahagian tisu sihat bagi mengelakkan sel kanser merebak.

Terdapat 3 jenis pembedahan bagi kanser paru-paru, iaitu:

  • Lobektomi: sebahagian paru-paru (lobus) dibuang
  • Pneumonektomi: seluruh paru-paru dibuang
  • Segmentektomi atau reseksi baji: sebahagian kecil paru-paru dibuang. Hanya dilakukan pada peringkat awal kanser paru-paru
Kemoterapi

Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan poten untuk mematikan sel kanser.

Kemoterapi boleh dilakukan:

  • Sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor
  • Untuk mematikan baki sel kanser selepas pembedahan
  • Untuk melambatkan kadar penyebaran kanser
  • Bersama dengan radioterapi

Kemoterapi biasanya diberikan dalam 4 ke 6 kitaran selama 3 ke 6 bulan. Ia mungkin juga diberikan bersama dengan ubat-ubatan agar lebih berkesan.

Radioterapi

Radioterapi menggunakan radiasi bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan mematikan sel-sel kanser.

  • Terapi pancaran luar digunakan untuk menyasarkan bahagian badan yang terjejas. Terapi ini jugalah yang paling biasa digunakan.
  • Radioterapi stereotaktik memancarkan pancaran radiasi pada tumor paru-paru yang kecil dengan tepat, tanpa menjejaskan tisu sihat di sekelilingnya.
  • Radioterapi dalaman menggunakan sedikit bahan radioaktif yang dimasukkan melalui sebatang tiub nipis dengan kamera. Tiub ini akan diletakkan di atas tumor untuk beberapa minit sebelum dikeluarkan. Ia biasanya digunakan dalam penjagaan paliatif.
Imunoterapi

Sekumpulan ubat-ubatan digunakan bagi merangsang sistem imun supaya menyasarkan dan mematikan sel-sel kanser. Terapi ini boleh digunakan berasingan atau bersama dengan kemoterapi. Imunoterapi diberikan menerusi vena di dalam dada atau lengan anda. Anda mungkin memerlukan satu dos setiap dua minggu atau satu bulan.

Terapi sasaran

Terapi sasaran (juga dirujuk sebagai terapi biologi) merangkumi ubat-ubatan yang diberikan untuk menyekat perkembangan kanser paru-paru bukan sel kecil peringkat lanjut.

Ablasi radiofrekuensi

Pengimbas CT digunakan untuk memandu jarum ke tapak tumor dan haba dijanakan bagi mematikan sel-sel kanser. Prosedur ini boleh digunakan pada peringkat awal kanser paru-paru bukan sel kecil.

Penjagaan paliatif

Jika rawatan tidak disyorkan atau kanser langsung tidak boleh dirawat, usaha akan dibuat untuk memaksimumkan kualiti hidup pesakit dengan mengurangkan tanda dan simptom kanser.


Bagaimana cara untuk mencegah kanser paru-paru?

Walaupun bukan semua kanser paru-paru boleh dicegah, ada langkah yang boleh diambil untuk menurunkan risiko mendapat penyakit ini, seperti:

  • Menjauhi tembakau, termasuk asap rokok sekunder.
  • Membataskan pendedahan kepada agen penyebab kanser, seperti bijih radioaktif, asap diesel, dan bahan kimia seperti arsenik, kadmium, silika dan sebatian nikel.
  • Mengelakkan pendedahan kepada radon dan asbestos
  • Mengamalkan diet yang sihat dan seimbang
  • Bersenam

Apakah prognosis bagi kanser paru-paru?

Kanser paru-paru bukan sel kecil mempunyai prognosis yang lebih baik, iaitu 50% bagi kadar hidup 2 tahun selepas diagnosis jika tiada metastasis, tetapi hanya 10% kadar hidup jika metastasis berlaku.

Kanser paru-paru sel kecil mempunyai median hidup selama 3 bulan tanpa rawatan dan 1 ½ tahun jika rawatan diberikan.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Pengesanan awal kanser paru-paru akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang faktor risiko dan simptom di atas, atau apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan

  1. Persatuan Kanser Amerika. Apa itu kanser paru-paru? Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/lung-cancer/about/what-is.html [Accessed on 2 May 2022]
  2. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit. Kanser paru-paru. Tersedia di https://www.cdc.gov/cancer/lung/basic_info/what-is-lung-cancer.htm [Accessed on 3 May 2022]
  3. Rajadurai P. dll. Kanser Paru-paru di Malaysia. 15(3): 317-323. 2020.
  4. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan. Kanser paru-paru. Tersedia di https://www.nhs.uk/conditions/lung-cancer/ [Accessed on 5 May 2022]
Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!