Strok: Rawatan dan Pencegahan
Apa itu strok?
Strok ialah kecemasan perubatan yang mengancam nyawa yang berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu atau berkurangan, menghalang tisu otak daripada mendapat oksigen dan nutrien yang diperlukan. Apabila perkara itu berlaku, sel-sel otak di bahagian otak yang terjejas akan mula mati.
Apakah serangan iskemia sementara (TIA)?
Serangan iskemia sementara (TIA) juga dikenali sebagai "strok mini." TIA ialah tempoh sementara berlakunya gejala yang serupa dengan strok. TIA berlaku apabila terdapat gangguan pendek dalam bekalan darah ke bahagian otak, saraf tunjang, atau retina. Tidak seperti strok, TIA tidak menyebabkan kerosakan kekal kerana sekatan itu bersifat sementara, biasanya hanya berlangsung beberapa minit hingga beberapa jam.
TIA ialah tanda amaran yang serius bahawa seseorang itu berisiko lebih tinggi untuk diserang strok pada masa hadapan. Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika anda mengalami gejala TIA, walaupun ia sembuh dengan cepat. Penilaian dan rawatan awal boleh membantu mencegah strok pada masa hadapan.
Apakah jenis strok?
Strok iskemia
- Kebanyakan strok adalah strok iskemia.
- Berlaku apabila darah beku menyekat atau menyempitkan arteri yang menuju ke otak, mengurangkan aliran darah dan bekalan oksigen ke tisu otak.
Strok hemoragik
- Berlaku apabila arteri dalam otak koyak atau pecah menyebabkan pendarahan di dalam atau di sekeliling otak.
- Boleh disebabkan oleh tekanan darah tinggi atau aneurisma (benjolan seperti belon dalam arteri yang boleh mengembang dan pecah).
Apakah simptom strok?
- Rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba, terutamanya pada sebelah badan (tidak terhad pada muka).
- Keliru, masalah untuk bercakap atau kesukaran memahami pertuturan secara tiba-tiba.
- Masalah untuk melihat pada sebelah atau kedua-dua mata secara tiba-tiba.
- Sukar berjalan, pening, kehilangan keseimbangan, atau kurang koordinasi secara tiba-tiba.
- Sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba tanpa diketahui puncanya.
Bagaimana cara untuk mengenali strok?
Untuk mengenali tanda amaran strok, ikut peraturan B.E.F.A.S.T:
B: Keseimbangan (Balance) | - Adakah seseorang itu mengalami kehilangan keseimbangan secara tiba-tiba atau mengalami kesukaran untuk berdiri atau berjalan?
|
E: Mata (Eyes) | - Cari sebarang perubahan penglihatan.
- Adakah seseorang itu menghadapi masalah untuk melihat atau mengalami penglihatan berganda?
|
F: Muka (Face) | - Adakah mukanya kelihatan tidak simetri?
- Minta orang itu tersenyum. Adakah sebelah mukanya terkulai?
|
A: Lengan Tangan (Arm) | - Minta orang itu mengangkat lengan tangannya.
- Adakah terdapat rasa lemah atau kebas secara tiba-tiba pada satu atau kedua-dua lengannya?
|
S: Pertuturan (Speech) | - Adakah orang itu mengalami kesukaran untuk bercakap?
- Adakah pertuturannya tidak jelas atau sukar difahami?
|
T: Masa (Time) | - Masa adalah kritikal untuk pengurusan strok.
- Lihat masa supaya anda boleh memaklumkan kepada doktor bilakah gejala bermula.
|
Apakah faktor risikonya?
- Tekanan darah tinggi
- Kolesterol tinggi
- Penyakit jantung
- Diabetes
- Obesiti
- Pengambilan alkohol secara berlebihan
- Sakit kepala migrain
- Merokok
- Ketidakaktifan fizikal
- Pemakanan yang tidak sihat
- Penyalahgunaan dadah
- Sejarah keluarga yang pernah mengalami strok
- Usia lanjut
- Sejarah keluarga yang pernah mengalami strok
- Pernah mengalami strok atau TIA
- Strok lebih kerap berlaku pada wanita berbanding lelaki
Bagaimanakah strok didiagnosis?
Mendiagnosis strok melibatkan gabungan penilaian klinikal, sejarah perubatan dan ujian diagnostik. Diagnosis awal dan tepat adalah penting untuk rawatan yang berkesan dan meningkatkan hasil.
Ujian pengimejan
- Imbasan CT otak selalunya merupakan ujian pertama yang dilakukan untuk membezakan antara strok iskemia dan hemoragik dengan cepat dengan menunjukkan kawasan pendarahan atau kerosakan.
- MRI memberikan imej otak yang lebih terperinci dan boleh mengesan kawasan tisu otak yang rosak akibat iskemia atau pendarahan. MRI boleh digunakan jika diagnosis masih tidak jelas selepas imbasan CT atau jika maklumat lebih terperinci diperlukan.
Ujian darah
- Kiraan darah lengkap (CBC) untuk memeriksa keadaan seperti anemia atau jangkitan.
- Ujian pembekuan darah untuk menilai seberapa cepat darah beku terbentuk, yang boleh menunjukkan risiko pendarahan atau gangguan pembekuan.
- Paras gula darah untuk menolak hipoglisemia (gula darah rendah) atau hiperglisemia (gula darah tinggi) sebagai punca gejala.
- Profil kolesterol dan lipid untuk memeriksa paras kolesterol tinggi yang boleh menyumbang kepada aterosklerosis.
Ujian jantung
- Elektrokardiogram (ECG) untuk mengesan masalah rentak jantung, seperti fibrilasi atrium, yang boleh meningkatkan risiko strok.
Bagaimanakah strok dirawat?
Rawatan strok iskemia
- Trombolisis intravena: Pemberian pengaktif plasminogen tisu (tPA) dalam masa 4.5 jam dari permulaan simptom boleh melarutkan bekuan darah dan memulihkan aliran darah. Lebih cepat tPA diberikan, lebih baik hasilnya.
- Trombektomi mekanikal: Prosedur untuk membuang darah beku secara fizikal dari arteri yang tersumbat. Ini boleh memberi manfaat sehingga 24 jam dari permulaan gejala dalam kes tertentu.
- Ejen antiplatelet: Aspirin atau clopidogrel untuk menghalang darah beku baru daripada terbentuk.
- Antikoagulan: Disebabkan oleh risiko pendarahan berlebihan yang tinggi, antikoagulan jarang digunakan dalam rawatan strok iskemia akut. Namun begitu, sesetengah doktor memilih terapi antikoagulan dos penuh dengan heparin atau heparin berat molekul rendah dalam kes strok tertentu.
- Intervensi pembedahan mungkin diperlukan.
Rawatan strok hemoragik
- Pengurusan tekanan darah: Ubat untuk menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko pendarahan selanjutnya.
- Pembalikan pencairan darah: Jika pesakit menggunakan ubat antikoagulan, rawatan untuk membalikkan kesannya mungkin diperlukan.
- Intervensi pembedahan mungkin diperlukan.
Apakah perubahan gaya hidup yang perlu dilakukan selepas strok?
- Pemakanan yang seimbang membantu mengawal berat badan, tekanan darah, dan paras kolesterol.
- Elakkan atau hadkan pengambilan minuman berkafein dan makanan yang mengandungi garam, natrium, atau lemak tepu yang tinggi.
- Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan protein tanpa lemak.
- Bersenam secara teratur untuk membantu meningkatkan kesihatan kardiovaskular, mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan tekanan darah.
- Berhenti merokok dan hadkan pengambilan alkohol untuk mengurangkan risiko strok berulang.
- Mengurus stres.
Bolehkah kehidupan kembali normal selepas strok?
Kehidupan selepas mengalami strok agak mencabar, tetapi ramai orang boleh kembali kepada rasa normal dengan rawatan yang betul, pemulihan dan pelarasan gaya hidup. Sejauh mana kehidupan boleh kembali "normal" bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk tahap keterukan strok, kawasan otak yang terjejas, kesihatan keseluruhan individu dan sokongan yang mereka terima semasa pemulihan.
Atur temu janji di Hospital Pantai
Jika anda atau seseorang yang anda kenali menunjukkan tanda-tanda strok, hubungi ambulans dengan segera. Intervensi awal boleh membuat perbezaan dalam pemulihan strok. Ingat, setiap saat adalah penting.
Hubungi kami untuk membuat temu janji hari ini jika anda mempunyai kebimbangan atau soalan mengenai strok. Pasukan yang berdedikasi dan pakar neurologi di Hospital Pantai bersedia untuk perundingan bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik. Kami menjamin penjagaan yang terbaik, dan khusus untuk keperluan spesifik anda.
Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.